HaRgAiLah SebUah PeRtEmUaN keRaNa Di SitU bErmULaNyA kEriNdUaN, hArgAiLah sEbUah PeRkeNaLaN kEraNa Di SitU teRukiRnYa kEikhLaSaN, hArgAiLah sEbUah pErSahAbAtAN kEraNa di SitU LahiRnYa pEngOrbAnAN, hARgaiLah sEbUah peRciNtaAN kEraNa Di siTu HadiRnya keSetiAaN, hArGaiLah kEseMuaNya keRaNa iA meRupAkAn RahMat DaRi TuhAn..

..KITA BERSAUDARA..

Tuesday, August 16, 2011

Kecewa? Nanti dulu…..


Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah sendiri pernah rasa kecewa dan berkeadaan sangat sedih.Setiap orang diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

KECEWA. Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.

Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?

“Aku sudah penat berdoa, tapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat”

Putus asa. Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hambaNya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptanNya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita. Dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita. Sebagaimana penegasan Allah dalam kitabNya yang mulia:

Maksudnya: …. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui. (surah Al-Baqarah:ayat 216)

Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan dan ia juga kadangkala perlu. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?

Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu,sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah. Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepadanya.

Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen untuk kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat,mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?

Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hambaNya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatahlagi untuk menyukatnya.

Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kekecewaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada’ dan qadar Allah.

Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmahnya.

Maksudnya: Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. [surah Ali Imran: ayat 139]

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages